Thursday, March 29, 2007

SPR dan pengerusinya 'rubbish' - Bersih


Sudah 11 kali pilihan raya umum diadakan, namun perkara yang sama tetap berbangkit iaitu mengenai integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat banyak pihak tidak menjalankan fungsi secara adil, telus dan wibawa.

Meskipun sesekali, SPR melalui pengerusi-pengerusinya membuat kenyataan seakan mahu membersihkan badan itu dari pelbagai masalah yang dihadapi, namun ianya hanya menghiasi dada-dada akhbar untuk tujuan 'sensasi' sahaja, tidak lebih dari itu.

Pengendalian perjalanan pilihan raya umum dan beberapa pilihan raya kecil tetap dipertikai oleh pembangkang terutamanya yang melihat SPR sebagai agen bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kuasa.

Tidak endahkan mahkamah

Terbaru 21 Mac lalu kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sekali lagi mengundang celaan oleh pelbagai pihak termasuk pembangkang dan NGO yang melihat kenyataan itu berupa satu penipuan.

"Sebagai seorang kakitangan awam, Abdul Rashid perlu bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya dan menjawab segala permasalahan yang diutarakan oleh orang awam, tetapi kenyataan beliau baru-baru ini sangat mengecewakan," kata wakil Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), R.Sivarasa semasa mengadakan sidang media Bersih di Pejabat KeADILan dekat Brickfield hari ini.

Turut hadir ialah, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zulkifli Ahmad; wakil DAP, Ronnie Liu; wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan dan wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram),K.Shan.

Mengulas lanjut kenyataan Abdul Rashid, Sivarasa berkata, Pengerusi SPR itu sebenarnya sengaja tidak mengendahkan perkembangan-perkembangan terkini di mana Mahkamah-mahkamah telah menyatakan dengan jelas peranan yang sepatutnya dimainkan oleh SPR dalam menjayakan pilihan raya secara keseluruhan.

Malah kenyataan Abdul Rashid itu sebenarnya hanyalah untuk menyelamatkan SPR yang sebenarnya diperkudakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kuasanya, katanya.

Secara lansung Abdul Rashid sebenarnya menjawab bagi pihak BN meskipun dalam banyak kes membuktikan bahawa pengendalian pilihan raya yang dibuat oleh SPR sebenarnya hanya menyelelahi pihak BN, katanya.

Pinda akta untuk kebalkan SPR

Sebagai contoh katanya, pada tahun 2001, Hakim Dato' Muhammad Kamil Awang membatalkan keputusan Pilihan Raya bagi Likas, Sabah atas alasan senarai pemilih bagi pilihan raya yang diadakan pada tahun 1998 bagi kawasan berkenaan tidak mengikut undang-undang kerana adanya pengundi hantu dibenarkan mengundi pada hari pembuangan undi, kata Sivarasa yang juga seorang peguam.

Dalam penghakimannya, Muhammad Kamil telah menyatakan bahawa SPR gagal menjalankan tanggungjawabnya dalam mengesah, mengazet senarai pemilih yang mencurigakan di samping banyak laporan yang dibuat ke atas kepincangan SPR, katanya.

Begitupun selepas penghakiman terhadap Likas, kerajaan dengan kerjasama SPR membuat pindaan kepada Akta Pilihan Raya 1954 pada bulan Jun 2002 di mana senarai pemilih sebagai sahaja disahkan atau disahkan semula ia dianggap muktamad dan diterima, kata Sivarasa.

"Pindaan ini secara efektifnya menolak segala peluang yang ada untuk mencabar kredibiliti dalam senarai pemilih.Hari ini dalam keadaan SPR itu kebal dari dicabar dari sebarang petisyen pilihan raya yang bakal wujud dalam senarai pemilih, mengapa Rashid mencabar pihak yang mengkritik beliau untuk membawanya ke mahkamah," kata Sivarasa lagi.

Hilang kertas undi

Sementara itu dalam pilihan raya 2004, terdapatnya laporan mengenai kehilangan 10,245 kertas undi bagi Parlimen Kuala Terengganu, bagaimanapun Abdul Rashid ketika itu hanya menyatakan kehilangan itu kerana pengundi membawa pulang kertas undi sebagai koleksi seperti mengumpul setem dan gambar, kata Sivarasa.

Kenyataan itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab malah ianya memalukan bagi seorang penjawat awam yang memegang sebuah badan yang seharusnya tidak boleh berpihak kepada mana-mana pihak, kata Sivarasa lagi.

Dalam kes lain katanya, pada pilihan raya 2004, Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) telah memohon kepada mahkamah dengan menggunakan beberapa versi senarai pemilih, isu memanjangkan tempoh mengundi hingga jam 7.00 petang di Selangor, mencatit nombor siri pengundi dan dengan kes SPR membenarkan 'pondok panas' didirikan pada saat akhir meskipun SPR sebelum itu mengumumkan tidak ada sebarang pondok panas.

Namun, ketika itu SPR melalui Peguam Negara di Mahkamah telah menghalang permohonan KeADILan dengan alasan pihak pendakwa menggunakan 'jalan belakang' untuk mencabar pilihan raya dan berkata hanya petisyen sahaja jalan untuk sebarang pendakwaan, ujar Sivarasa lagi.

Dalam avidavitnya, KeADILan telah menyatakan bahawa permohonan yang dibuat bukanlah untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum tetapi mahuykan peraturan ditetapkan oleh makhamah untuk menjelaskan undang-undang sebagai panduan kepada SPR menjalankan pilihan raya untuk keselesaan semua, katanya lagi.

Bagaimanapun Abdul Rashid dalam jawapan-jawapannya terhadap beberapa kes yang diutara pembangkang, tetap mempertegaskan bahawa SPR menjalankan pilihan raya secara telus, dan tidak pernah mengakui kesilapan yang dilakukan, kata Sivarasa.

Dengan kes-kes yang didedahkan itu kata Sivarasa, kredibiliti SPR itu sendiri sebenarnya tidak lagi diyakini oleh rakyat, justeru baginya sudah sampai masanya Abdul Rashid meletak jawatan.

Abdul Rashid 'rubbish'

Sementara itu, Ronnie Liu pula menyatakan bahawa bukan sekali Abdul Rashid membuat kenyataan yang dianggap sebagai 'rubbish' (sampah) itu, sebaliknya Abdul Rashid dilihat telahpun menjadi jurucakap bagi Umno dan BN bagi menjawab segala masalah yang diutara pembangkang kepada SPR.

Menurutnya, jika di India atau di Indonesia, setiap laporan yang dibuat ke atas perjalanan pilihan raya akan diambil perhatian dengan serius termasuk ada beberapa kes membabitkan calon menggunakan kemudahan kerajaan ketika berkempen, pihak SPR di India membatalkan perjalanan pilihan raya dan mengadakannya semula.

"Tetapi di Malaysia, meskipun kes yang dihadapkan ialah kes senarai pemilih yang mencurigakan dengan banyak nama yang tanpa alamat, dan ada satu alamat yang mempunyai banyak nama pengundi, tetapi ianya tidak diendahkan SPR," katanya.

Sambil menyifatkan pengendalian pilihan raya sejak dahulu hingga kini tidak pernah telus dan hanya berpihak kepada Umno/BN, Ronnie menggesa rakyat bangkit bagi memperjuangkan hak memilih dengan bebas.

Tiga tuntutan tidak dilaksana

Dalam pada itu, Dr Zulkipli pula menyatakan setakat ini tiga tuntutan yang dibuat oleh Bersih pada Disember tahun 2006 lalu kepada SPR dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya SPR menjalankan pilihan raya dengan bersih masih belum dipenuhi oleh pihak SPR.

Antara tuntutan itu ialah, penggunaan dakwat untuk 'celup jari' bagi mengelak pengundi mengundi dua kali; penghapusan undi pos dan pembersihan daftar pemilih.

Begitupun dalam tuntutan menggunakan dakwat untuk 'celup jari' yang mempunyai kos yang murah pihak SPR hanya mencadangkan penggunaan Biometrik (pengimbas cop jari) yang dilihat lebih mahal, kata Dr Zulkifli.

"Kita positif kepada cadangan itu (Biometrik) cuma kita bimbang pelaksanaannya nanti hanyalah akan menguntungkan pihak kerajaan sahaja.Kita mahu kerajaan gunakan celup jari lebih murah, dan ianya diamalkan oleh negara-negara seperti India, Indonesia dan beberapa negara lain," katanya lagi.

Rashid cabar pembangkang

Pada 21 Mac lalu, SPR membidas pihak tertentu terutama parti pembangkang yang sering mempertikaikan ketelusan badan itu dengan mendakwa tidak pula mengemukakan bukti untuk menyokong tuduhan tersebut.

Abdul Rashid ketika menyelar pembangkang berkata, sekiranya benar SPR tidak bersikap telus dalam mengendalikan proses pilihan raya di negara ini, pihak terbabit perlu mengemukakan bukti dan membawa SPR ke mahkamah.

Beliau menegaskan, Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa sebarang pertikaian berkaitan dengan pilihan raya perlu ditentukan oleh mahkamah.

‘‘Saya tidak boleh terus berhujah (menjawab tuduhan tersebut) kerana ia tidak akan tamat. Mereka sudah beberapa kali membawa SPR ke mahkamah tetapi tidak ada apa- apa pun yang mengatakan kami tidak telus.

‘‘Kalau mereka kata kita tidak telus mereka perlu buktikannya. Saya tidak ada satu bukti pun yang menyatakan tidak telus,” kata Abdul Rashid lagi.

Pengerusi SPR itu mengulas dakwaan beberapa parti politik pembangkang yang terus membangkitkan isu ketelusan SPR dalam mengendalikan proses pilihan raya di negara ini.
SCREW YOU SPR...

No comments: