Monday, February 19, 2007

Benarkah rakyat selesa atau Abdullah buat-buat lupa?

Indikasi apakah yang meletakkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi gembira dengan keadaan negara kini?

Apakah sekadar mengungkapkan kehidupan rakyat Malaysia kini dalan suasana yang selesa dan menjalani kehidupan keluarga yang bahagia mampu untuk dijadikan sebagai suapan manis untuk didengari kepada seluruh rakyat negara ini?

Dan apakah tanpa mahu menamakan sumber kajian dan penyelidikan adalah asas kukuh untuk memahatkan bahawa Malaysia kini dalam landasan yang cemerlang sebagai sebuah negara yang maju?

Permainan indeks keselesaan keluarga dan kebahagiaan keluarga (laporan Malaysiakini) yang menjadi ungkapan bibir pemimpin perdana ini bukan boleh menjadi acuan yang membentuk tanggapan umum betapa rakyat di negara ini sudah boleh meraup udara keselesaan dengan segala permasalahan yang masih menunjangi di sekitar kita.

Dan seperkara, ukuran kejayaan ekonomi dengan meletakkan pelaburan luar dan dalam negara sehingga mencecah lebih RM40 bilion bukanlah satu jangkaan bijak untuk digembar-gemburkan malah berpesta bahawa Malaysia sudah mampu mendabik dada sebagai sebuah negara yang maju dan ekonominya makin kukuh.

Mungkin, Perdana Menteri kita lupa atau melupakan, malah buat-buat lupa betapa di kalangan lebih 23 juta rakyat negara ini, majoritinya masih mengikat perut, bersengkang mata mencari rezeki.

Jika ditinjau di setiap negeri, purata penduduk di negara ini masih hidup dalam kepayahan. Lupakanlah Presint-presint yang wujud di sekitar Putrajaya, lupakanlah perumahan elit di Taman Tun Dr Ismail, Damansara, Bangsar, Bukit Tunku dan segala kondo-kondo yang berceracak tinggi di sekitar Kuala Lumpur.

Sebaliknya, lihat perumahan 'mewah'rakyat terpinggir di sekitar pinggiran Kuala Lumpur dan Selangor. Dengan rumah papan yang menunggu masa untuk menyembah bumi dan kemudahan asas yang masih jauh ketinggalan.

Ini belum lagi dengan sektor perniagaan, berapa kerat rakyat negara ini mampu menyewa malah membeli blok-blok perniagaan sama ada lot kedai ataupun memiliki perusahaan sendiri di tengah-tengah bandar.

Di manakah letaknya majoriti peniaga dan pengusaha di kalangan rakyat negara ini? Jika kita berkelapangan, lawatlah sejenak di sekitar bangunan kemegahan negara, carilah pengusaha melayu di dalam KLCC dan congaklah berapa ramai bilangan mereka jika dibandingkan dengan pengusaha asing.

Yang mampu kita temui, majoriti hanyalah terdiri di kalangan pekerja bawahan. Pemiliknya?

Apa yang ingin dinyatakan di sini adalah, masih banyak yang perlu dilakukan oleh para pemimpin negara ini. Janganlah begitu mudah untuk menerima begitu mudah sebarang perangkaan daripada mana-mana pihak tanpa membuat penelitian. Dan janganlah pula mudah untuk menggulakan rakyat Malaysia dengan angka-angka yang bersifat palitan kosmetik semata.

Sudah sampai masanya, kita secara bersama bergerak membina dan mengukuhkan secara menyeluruh negara ini. Pemimpin perlulah lebih bijak dan bukan semata-mata mengeluarkan kenyataan yang membuta tuli sahaja. Pandang-pandanglah, lihat-lihatlah di sekitar kita.

Masih banyak, malah masih ramai di kalangan rakyat yang terseksa hidup mereka. Masih ramai yang bekerja dua atau tiga pekerjaan untuk menampung kos hidup ketika ini. Dan masih ramai juga yang menadah tangan mengharapkan simpati.

No comments: