Tuesday, January 9, 2007

Beberapa persoalan mengenai kenaikan kadar tol

Mulai 1 Januari 2007, benarlah seperti mana yang didakwa sebelum ini bahawa kerajaan telah meluluskan kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya negara ini.

Mungkin ada justifikasi tersendiri di kalangan pemimpin negara terhadap kadar tol baru ini, namun kenaikan sehingga mencecah 60 peratus boleh dianggap seperti menjerut leher setiap warga negara ini.

Untuk meninjau lebih jauh, maka bolehlah dilontar beberapa persoalan dalam isu kenaikan kadar tol ini.

Pertamanya, kenapakah kerajaan menaikkan kadar tol sebanyak 20 peratus hingga 60 peratus?

Samy Vellu memberitahu dalam perjanjian di antara kerajaan dengan pemilik konsesi, syarikat konsesi dibenarkan untuk menaikkan kadar tol mengikut tempoh yang dipersetujui. Tetapi sekiranya kadar kenaikan tidak dipersetujui, maka kerajaan terpaksa membayar pampasan atau ganti rugi kepada syarikat konsesi!.

Menurut Samy Vellu, sehingga kini kerajaan telah membayar ganti rugi sebanyak RM2 bilion. Dengan itu kerajaan mengeluarkan subsidi berjumlah RM2 bilion bagi mengelakkan rakyat membayar kenaikan tol tersebut!

Timbalan menteri, S Veerasingam pula berkata bahawa kerjaan tidak ada pilihan selain daripada menaikkan kadar tol! Jika tidak kerajaan akan berterusan membayar ganti rugi kepada syarikat-syarikat konsesi!

Kerajaan juga menyatakan bahawa tiada apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan tentang perjanjian yang telah dibuat di antara kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi tersebut.

Jika begitu siapakah sebenarnya yang mentadbir negara ini?

Daripada penjelasan menteri, timbalan menteri dan kerajaan seolah-olah syarikat-syarikat konsesi yang mewakili golongan kapitalis dan kroni inilah yang lebih berkuasa daripada kerajaan!.

Tidakkah perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya ini berat sebelah?

Ya, perjanjian ini amat berat sebelah. Perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi telah dijalankan secara tidak telus dan terlalu banyak rahsia. Kepentingan syarikat-syarikat konsesi sentiasa diutamakan dan kepentingan rakyat secara berterusan dipinggirkan.

Di peringkat manakah dalam perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi dinyatakan bahawa harga tol boleh dinaikkan?.

Dari awal perjanjian ditandatangani lagi. Bahkan, sebagai contoh kadar kenaikan tol di LDP untuk 30 tahun telah siap ditentukan sejak awal lagi!

Kenapa kerajaan dengan mudah bersetuju dengan kenaikan yang terkandung dalam perjanjian tersebut?

Inilah persoalan yang membingungkan. Sebagai contoh kadar tol yang dipersetujui oleh kerajaan di LDP pada tahun 1998 adalah RM1.50. Tetapi tol yang dikenakan kepada pengguna adalah RM1.00. Ini bermakna kerajaan membayar 50 sen untuk lapan tahun bermula dari tahun 1998 hingga tahun 2006!

Seperti dalam kes LDP, kenapa dari awal lagi kerajaan tidak runding untuk tetapkan harga tol pada RM1.00? Dengan itu kerajaan tidak dibebankan membayar pampasan atau ganti rugi kepada syarikat konsesi berkenaan?

Ya, benar. Perjanjian seumpama itu ditandatangani oleh kerajaan seolah-olah bagi membolehkan kerajaan menyalurkan wang rakyat kepada syarikat-syarikat konsesi!

Mengapa kerajaan benar-benar mahu melindungi syarikat-syarikat konsesi ini. Apakah syarikat-syarikat ini mengalami kerugian teruk?

Laporan Tahunan 2006 Litrak, iaitu pemilik konsesi LDP menunjukkan keuntungan bersih sebanyak RM80 juta. Ini merupakan peningkatan sebanyak 43% dari keuntungan bersih RM56 juta pada tahun 2005.

Laporan itu juga menunjukkan Litrak mencatat rekod baru dengan kutipan sebanyak RM243 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2006 berbanding dengan kutipan sebanyak RM227 juta pada tahun sebelumnya.

Bagaimanakah keuntungan ini boleh dicapai?

Pada awalnya LDP dibina bagi menampung 1 juta kenderaan setahun. Namun bilangan kenderaan telah meningkat kepada hampir 3 juta setahun. LDP berada di tengah-tengah jalur perdagangan cergas Bandaraya Kuala Lumpur. Perhatikan saja kesesakan kenderaan di tol tersebut pada waktu-waktu puncak.

Apa lagi yang rakyat tidak tahu tentang kenaikan kadar tol ini?

Banyak lagi yang rakyat tidak tahu!. Contohnya, walaupun bermula dari 2007 kadar tol di LDP adalah RM1.60, tetapi kadar sebenar dalam perjanjian adalah RM2.10. Ini bermakna kerajaan akan terus membayar pampasan kepada syarikat konsesi sebanyak 50 sen sehingga tahun 2015!. Rakyat tambah dari saku sendiri sebanyak 50 sen dan kerajaan tambah lagi 50 sen dari wang rakyat!. Apapun syarikat konsesi yang kaya raya!

Jika begitu kenapa kerajaan masih meluluskan kenaikan kadar tol?

Inilah salah satu daripada kepincangan dasar penswastaan kerajaan yang terlalu memihak kepada kepentingan syarikat konsesi, kroni dan golongan kapitalis serta sekali gus tidak mengendahkan kepentingan rakyat.

Memang sejak awal dasar penswastaan jalanraya kerajaan tidak mengendahkan kepentingan rakyat. Kerajaan bersikap berlepas tangan dalam kerja-kerja untuk terus memajukan sistem jalanraya dan kemudahan-kemudahan yang berhubung dengannya.

Layanan EPU (Economic Planning Unit di bawah Jabatan Perdana Menteri) terhadap projek-projek jalanraya kendalian JKR amatlah sepi berbanding projek-projek syarikat konsesi. Itulah antara sebab mengapa kerajaan sanggup terlibat dengan perjanjian yang begitu berat sebelah dengan syarikat konsesi.

Jika kerajaan berterusan membayar pampasan kepada syarikat konsesi, sudah tentu pampasan yang terpaksa dibayar oleh kerajaan lebih tinggi daripada pembinaan lebuhraya?

Betul!. Samy Vellu menyatakan bahawa kos pembinaan semua lebuhraya di atas tidak termasuk Guthrie adalah RM4.13 bilion. Setakat ini kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM4.86 bilion. Ini bermakna tanpa menswastakan pembinaan lebuhraya sekali pun, kerajaan mampu membina lebuhraya-lebuhraya tersebut!

Bolehkah kerajaan membina lebuhraya tanpa melalui penswastaan?

Boleh!. Contohnya pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan pembinaan Lebuhraya KL-Seremban peringkat pertama dahulu. Disebabkan tindakan tergesa-gesa untuk menjalankan dasar penswastaan, agensi kerajaan yang telah menjayakan kedua projek ini ditukar menjadi Lembaga Lebuhraya Malaysia dan peranannya diperkecilkan hanya untuk menyelaras perjalanan projek yang diserahkan kepada syarikat-syarikat konsesi.

Kerajaan semasa menaikkan harga petrol mengatakan bahawa tujuan kenaikan tersebut adalah untuk menjimatkan RM4.4 bilion. Kini kenaikan harga tol pula dikatakan untuk menjimatkan RM2 bilion.

Adakah rakyat akan mendapat manfaat daripada penjimatan ini?

Tidak mungkin rakyat akan mendapat manfaatnya. Ini kerana, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Sulaiman pada 13 Dis 2006 memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan berbelanja sehingga RM11 bilion untuk mengambilalih (sebenarnya bailout) tujuh syarikat yang mengalami masalah pengurusan dan kewangan selepas diswastakan terutamanya Star LRT, Putra LRT dan MAS.

Jika demikian apakah kedudukan ekonomi negara buat masa ini?

Kucar-kacir!. Kenaikan harga minyak pada 28 Feb 2006 merupakan tertinggi dalam tempoh 20 tahun. Pada awal tahun 2006 cukai pintu dan cukai tanah telah dinaikkan. Pada awal Februari 2006 pula tambang bas sekolah turut dinaikkan. Tidak lama selepas itu, pada bulan Jun 2006, kadar tarif elektrik juga dinaikkan.

Ini disusuli pula dengan kenaikan tarif air sebanyak 15% oleh Syabas di Kuala Lumpur, Putra Jaya, Selangor dan di negeri Perak. Kadar inflasi pada bulan Mac 2006 adalah 4.8%, iaitu paras yang tertinggi dalam tempoh enam tahun.

Tanggungjawab siapakah untuk memastikan keadaan kewangan dan ekonomi negara berada dalam keadaan yang sejahtera?

Menteri Kewangan Malaysia!.

Siapakah Menteri Kewangan Malaysia?

Abdullah Ahmad Badawi!.

Bukankah beliau juga merupakan Perdana Menteri Malaysia?
Ya! Perdana Menteri yang paling hebat mengkucar-kacirkan ekonomi negara!
Viva..La UMNO

No comments: