Saturday, December 23, 2006

Dua UTK dituduh bunuh Altantuya pengawal Najib??

Selepas Melbourne Age melaporkan bahawa kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu mencetuskan soalan-soalan berapi-api kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isu itu semakin berapi-api apabila ucapan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memanaskan lagi persoalan umum adakah kedua-dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) yang dituduh membunuh Altantuya adalah pengawal peribadi Najib.

Anwar juga mendakwa bahan letupan C4 yang digunakan untuk meletup dan menghancurkan mayat Altantuya tidak boleh diperolehi tanpa kebenaran Menteri Pertahanan.

Najib juga adalah Menteri Pertahanan.

"Saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi hanya menyatakan fakta. Kita tidak boleh menuduh tetapi kita boleh bertanya, tidak ada salahnya bertanya," kata bekas Timbalan Perdana Menteri ketika berceramah di padang Flat Seri Melaka di Cheras baru-baru ini.

Melbourne Age 14 Disember lalu melaporkan, kes pembunuhan Altantuya mengakibatkan soalan-soalan berapi-api kepada Najib.
Menurut akhbar itu, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang kini didakwa berikutan pembunuhan Altantuya, ialah orang kepercayaan Najib.
Walaupun Najib tidak dikaitkan secara rasmi dengan kes itu, kata The Age, tetapi persoalan berbangkit mengenai dakwaan penglibatan UTK dan adakah apa yang disebut sebagai penggunaan bahan letupan C4 boleh dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa Kementerian Pertahanan.

Kes yang melibatkan Abdul Razak, 46, disifatkan amat menarik perhatian apabila isterinya, Mazlinda Makhzan, menekankan di luar mahkamah sebelum perbicaraan 16 November lalu bahawa suaminya tidak bersalah, diperangkap dan tidak mahu menjadi Perdana Menteri.

"Dia orang baik. Dia bukan perdana menteri negara ini. Dia tak mahu pun menjadi perdana menteri. Dia tidak berminat dengan itu semua," Mazlinda, seorang bekas majistret, menegaskan.

Ketika Abdul Razak memeluknya, beliau berkata: "Begitu teruk. Kekejaman".

Pertanyaan timbul mengapa Mazlinda menyatakan: "Dia bukan perdana menteri negara ini. Dia tak mahu pun menjadi perdana menteri. Dia tidak berminat dengan itu semua".

Laporan lain pula menyatakan Mazlina berkata: "Dia tidak berminat dengan politik. Dia tidak mahu menjadi perdana menteri yang akan datang. Dia orang baik. Dia suami yang baik. Dia sepatutnya melindungi saya. Polis yang melakukannya. Merekalah orangnya. Mereka sepatutnya mempertahankan negara ini.

“Sampai hati you all buat dia macam ni. Jangan buat begini kepada dia. Itu kehidupan dia. Mengapa letakkannya ke atas suami saya? Ini kejam, kejam, kejam".

Peguam kepada Abdul Razak, Datuk Shafee Abdullah, pernah dilaporkan sebagai berkata, "Saya yakin sepenuhnya beliau tidak bersalah ... beliau tidak terlibat sama sekali".

Bagaimanapun dalam perbicaraan 14 Disember lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shafee digantikan oleh peguam Wong Kian Kheong.
Dalam perbicaraan itu juga, Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tiada pihak lain yang terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu selain daripada Abdul Razak dan dua anggota UTK Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Salehuddin berkata perkara itu perlu diperjelaskan berikutan wujud terlalu banyak tohmahan dan sindiran bahawa ada pihak lain yang terlibat sedangkan mengikut siasatan polis hanya tiga tertuduh itu yang terlibat.
Salehudin berkata perbicaraan kes itu juga perlu disegerakan bagi memberi peluang pendakwaan menepis segala spekulasi yang timbul.

Abdul Razak yang lebih dikenali sebagai Razak Baginda didakwa bersubahat membunuh wanita warga Mongolia Altantuya, 28, dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Konstabel Sirul Azhar Umar, 35, di pejabat Abdul Razak di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, No 148, Jalan Ampang antara pukul 9.54 pagi dan 11.05 pagi, 18 Oktober lalu.
Azilah dan Sirul Azhar yang sebelum ini bertugas di UTK, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pula didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1.00 pagi 20 Oktober lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Md Yasin telah menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan semula kes itu dan turut membenarkan jaminan terhadap Abdul Razak dilanjutkan tetapi mengenakan syarat tambahan dengan mendepositkan wang tunai RM1 juta atau sekuriti yang setara dengannya selain melaporkan diri di balai polis seminggu sekali dan menyerahkan pas perjalanan ke mahkamah.